Pengalaman Menghasilkan Blog Kali Pertama 12:18 PM

Teruja.. sangat teruja..

Iya.. itu yang saya alami sekarang. Sebelum ni saya hanya bersemangat untuk melatih dan mendidik peserta mengenai Mudahnya Bina Blog


Tips Galak Anak Belajar Matematik dan Sains 12:18 PM

Tahukan anda bahawa permainan yang anda mainkan untuk bayi dan kanak-kanak boleh membantu minat mereka untuk mempelajari Sains dan Math? Kanak-kanak sebenarnya mampu untuk mempelajari konsep besar-kecil, tinggi-rendah, laju-perlahan, dan berat-ringan. Dengan mempelajari konsep ini, anda sebenarnya membantu mereka untuk mula mempelajari tentang Matematik dan Sains.


Pakar ada mengatakan bahawa kanak-kanak secara naturalnya sudah mempunyai ciri-ciri sebagai ahli matematik ataupun saintis kerana mereka mempunyai rasa ingin tahu terhadap sesuatu benda dan ia diterjemahkan melalui eksperimen-eksperimen yang dilakukan di belakang rumah.

Cuma anda sebagai ibu bapa perlu menggalakkan mereka dengan bertanyakan soalan dan membantu mereka menerokai dan memerhati alam semulajadi. Ini dapat membina minat mereka dalam Matematik dan Sains. Ramai pakar mengatakan bahawa kanak-kanak pada usia muda mempunyai minat yang tinggi terhadap bidang ini berbanding kanak-kanak yang telah meningkat usia atau remaja.

Di sini ada beberapa tips yang kita boleh lakukan untuk membina minat anak-anak terhadap Matematik dan Sains, antaranya:

·         Bawa anak-anak berjalan-jalan di taman rekreasi atau taman permainan. Sambil-sambil itu ajak anak memerhati alam sekeliling, kemudian beritahu mereka apa yang anda lihat dan tanya mereka apa yang mereka lihat. Mungkin yang dilihatnya itu bunga-bunga pelbagai warna, serangga kecil, rama-rama dan burung yang berterbangan dan sebagainya.

·         Melukis gambar bersama-sama. Lukis apa yang anda telah lihat sama ada objek yang dilihat di taman atau apa sahaja yang terlintas di fikiran anda. Kemudian minta anak-anak lukis pokok, binatang atau apa sahaja yang dia ingat. Minta dia ceritakan tentang lukisannya itu.

·         Kemudian tukar daripada lukisan kepada bentuk cerita. Tulis apa yang anak anda ceritakan tentang gambar yang anak anda lukiskan tadi. Minta anak-anak ceritakan lagi tentang gambar yang dilukis dan kemudian simpan atau rekodkan cerita dan hasil lukisan tersebut.

·         Beri perhatian terhadap apa yang anak anda cakapkan, sambil mendengar, anda perlu bertanyakan soalan-soalan supaya wujud interaksi yang mesra antara anda dan anak. Kanak-kanak sebenarnya ingin berkongsi cerita dengan anda pada setiap hari. Mereka ingin memberitahu anda apa yang dia telah lihat dan fikirkan. Perbualan mesra antara anda dan anak-anak sebenarnya telah menggalakkan mereka untuk berfikir dan memilih perkataan yang sesuai.

·         Pilih alat permainan yang boleh membantu anak-anak belajar. Kanak-kanak mula mempelajari sesuatu melalui alat permainan kerana dari situ mereka boleh meneroka perkara baru dan berimaginasi. Alat permainan tidak semestinya mahal, yang penting ringkas, selamat dan tahan lama. Contohnya;

o   Bola – Ia boleh dicampak, disepak dan dilantunkan dalam keadaan tinggi dan rendah. Boleh juga ditenggelamkan dalam air dengan tekanan yang tinggi dan terapung di atas air. Melalui bola, kanak-kanak dapat belajar tentang tekanan, tinggi-rendah, berat dan ringan.

o   Kepingan Blok – Alat permainan ini mempunyai unsur Matematik dan Sains kerana ia boleh membantu kanak-kanak belajar tentang kejuruteraan dan geometri. Blok ini ada dijual dalam bentuk kayu, plastik dan cardboard. Biasanya ia dijual dalam bentuk plastik kerana lebih ringan dan tahan lama. Kalau anak-anak anda masih kecil, pastikan blok tersebut besar sedikit, mudah dipegang dan tidak mudah ditelan. Alat permainan ini dapat meningkatkan kreativiti kanak-kanak dengan membentuk struktur yang pelbagai seperti robot, rumah, kereta dan sebagainya. Bagi mendapatkan struktur yang sempurna, kanak-kanak akan menggunakan ukuran dan kiraan blok tertentu seperti berapa jumlah blok yang diperlukan untuk kaki dan tangan robot dan berapa kepingan blok yang diperlukan untuk membentuk sebuah kereta.

o   Permainan Teka-teki (puzzles) – Permainan ini akan membantu kanak-kanak menyelesaikan masalah selain membantu mereka belajar tentang bentuk, saiz dan warna. Untuk bayi, pastikan alat permainan tersebut dalam bentuk kepingan yang besar supaya tidak mudah ditelan. Bagi menjimatkan kos, anda boleh membuat sendiri alat permainan ini. Caranya anda ambil sekeping gambar dari majalah atau gambar yang telah dilukis oleh anak anda, potong gambar tesebut dalam kepingan yang besar dan lekatkannya di atas kertas keras. Ok dah siap untuk bermain. Cerai-ceraikan kepingan gambar tadi dan biarkan anak-anak menyusun semula supaya menjadi gambar yang sempurna.
 
·         Berkebun dengan anak-anak. Berkebun dan menanam pokok dalam apa jua saiz adalah aktiviti keluarga yang amat baik kerana ia membantu kanak-kanak memahami penggunaan tanah untuk pertumbuhan, kepentingan air dan cahaya matahari dan proses pembesaran. Kanak-kanak dapat melihat kadar pertumbuhan tanaman tersebut dan merekodkannya, ancaman serangga perosak dan belajar bagaimana tumbuhan tersebut boleh hidup sihat.

·         Pantau masa anak-anak menonton tv. Tutup tv sekiranya anak anda menonton melebihi masa yang ditetapkan. Menonton terlalu lama akan menyebabkan masa terbuang begitu sahaja sedangkan banyak aktiviti berfaedah boleh dilakukan. Kebanyakan pakar berpandangan bahawa jika kanak-kanak tidak menonton tv, mereka akan menjadi lebih cerdik dan pintar dalam bidang Matematik dan Sains. Pastikan anak-anak menonton rancangan-rancangan yang berunsurkan pendidikan. Setelah tamat menonton, diskusi dengan anak-anak apa yang telah mereka tontonkan. Dengan cara ini ialah boleh meransang mereka supaya berfikir lebih kritikal.

Sumber:

1- Helping children learn at home. (1997, March 27). Pointers for Parents(National Science and Technology Week Publication SP/96-8). Arlington, VA: National Science Foundation.

2- Prepared for Parent News by Dawn Ramsburg for the National Parent Information Network (NPIN)